UMNO Bantu Rakyat: Lebih 60,000 Rumah Akan Dikunjungi




Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) menyasarkan untuk melawat lebih 60,000 rumah di 60 lokasi di seluruh negara sehingga akhir tahun ini menerusi jelajah program 'UMNO Bantu Rakyat 2.0' yang bermula hari ini.

Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program itu selari dengan matlamat UMNO yang mengutamakan kebajikan dan membela rakyat sepanjang masa selain memperkukuhkan imej parti.

"Sasarannya kepada golongan miskin, ibu tunggal, pelajar dan golongan yang memerlukan di kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira kaum.

"Pendekatan kali ini sedikit berbeza iaitu lebih kepada akar umbi meliputi aktiviti yang dirancang BIKUM peringkat pusat bersama pimpinan negeri termasuk Pemuda, Wanita, Puteri UMNO dan Bahagian yang lebih menjurus kepada lawatan ke rumah-rumah di kawasan terpilih," katanya pada sidang media program itu di sini hari ini.

Program berkenaan adalah kesinambungan program UMNO Bantu Rakyat Fasa 1 yang dilancarkan Mei lepas dan berjaya membantu kira-kira 300,000 golongan sasar di 21 kawasan di seluruh negara.

Shamsul Anuar berkata antara aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi program UMNO Bantu Rakyat 2.0 adalah membuka 20,000 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) secara percuma kepada pelajar tahun satu dan Klinik BIKUM Medical Team yang akan bergerak ke rumah-rumah yang mempunyai pesakit kronik.

"Turut diadakan adalah klinik motosikal percuma kepada golongan muda dan yang memerlukan, program pemeriksaan dan penyelenggaraan pendawaian rumah serta memperbaiki dan menghias rumah yang dilawati," katanya.

Menurutnya BIKUM akan melawat kumpulan sasar di enam lokasi di Pahang iaitu Bentong, Paya Besar, Temerloh, Bera, Pekan dan Cameron Highlands mulai hari ini sehingga Ahad diikuti negeri-negeri lain secara berperingkat.

Program itu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Giat Mara dan Kementerian Kesihatan dengan lebih RM150,000 diperuntukkan untuk setiap kawasan yang dikunjungi, kata Shamsul Anuar.

-- BERNAMA