Lima Kerusi Gerakan Dijangka Bertukar Pada PRU14
SEREMBAN, 24 Sept (Bernama) -- Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong mengesahkan pertukaran kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan melibatkan lima kerusi Gerakan.
Beliau berkata ia membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang diperuntukkan kepada Gerakan di seluruh negara dan perkara itu masih dalam perbincangan.
"Proses perbincangan masih berjalan di peringkat tertinggi BN dan keputusan akhir akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Negeri Sembilan kali ke-42 2017 di Wisma Gerakan Negeri Sembilan di sini, Ahad.
Mengulas lanjut, Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata terdapat perbincangan mengenai pertukaran kerusi antara Gerakan, MCA, MIC, UMNO dan semua parti komponen BN yang lain.
Sementara itu, beliau berkata mengikut kajian partinya, pada pilihan raya umum kali ini lebih 42 peratus adalah pengundi muda berumur di bawah 40 tahun dan 53 peratus adalah pengundi 'atas pagar', justeru partinya akan memberi perhatian lebih kepada dua golongan itu agar menyokong BN.
"Mereka perlu diberi perhatian sewajarnya agar tidak ragu-ragu dengan kerajaan sedia ada," katanya yang menambah Gerakan dan BN perlu terus kuat dan mantap kerana PRU14 lebih mencabar.
Beliau berkata Gerakan akan melakukan perubahan berkempen dengan menggunakan rangkaian media sosial untuk memastikan parti itu dan BN berada pada kedudukan terbaik.
"Pelbagai aplikasi di alam maya membawa ledakan untuk mengubah landskap komunikasi, penyampaian maklumat dan politik bukan saja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia," katanya.
Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Choong Vee Hing berkata anggota parti seharusnya menyokong siapa sahaja calon yang dikemukakan oleh pucuk pimpinan untuk bertanding di dua kerusi DUN iaitu DUN Senawang dan Bukit Kepayang yang diperuntukkan kepada Gerakan di negeri ini pada PRU14.
"Walaupun kita tewas kedua-dua kerusi DUN itu pada pilihan raya umum lepas, tetapi kali ini kita lebih bersedia untuk merampas kerusi tersebut daripada pembangkang.
"Oleh itu, saya menyeru semua anggota parti untuk bekerja keras dan berganding bahu dalam memastikan kemenangan Gerakan dan BN pada PRU14,\" katanya.
-- BERNAMA