MIC Garis Lima Resolusi Tingkat Taraf Sosioekonomi Masyarakat India




KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Perhimpunan Agung MIC ke-71 hari ini sebulat suara meluluskan lima resolusi untuk meningkatkan taraf pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Resolusi itu menggariskan Rukun Negara sebagai teras ideologi nasional; langkah-langkah mencegah gejala sosial; pelaksanaan dasar pendidikan baharu; persediaan MIC dalam mengharungi perubahan landskap politik dan pemerkasaan keusahawan masyarakat India.

Dalam pembentangannya, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S K Devamany berkata resolusi pertama yang menyentuh Rukun Negara menjelaskan lima prinsip menjadi induk pembentukan aspirasi jiwa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Selangor Kajendran Doraisamy yang berbahas mengenai Rukun Negara sebagai teras pembangunan negara berkata sejak kebelakangan ini pelbagai isu timbul dan mencabar asas prinsip Rukun Negara sehingga mampu memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Justeru, beliau berkata semua pihak termasuk pemimpin politik harus mengelakkan daripada memberi kenyataan berbaur perkauman yang boleh mencetuskan perselisihan faham antara rakyat majmuk di negara ini.

Katanya satu rangka agenda transformasi ke arah perpaduan negara harus dirangka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Puteri MIC B. Shivaranjani menyaran kerajaan menubuhkan Unit Pemantauan dan Pencegahan Khas Gejala Sosial dan Gengsterisme.

Beliau berkata usaha tu bagi menyelidik punca, faktor dan implikasi masalah secara komprehensif serta melaksanakan program intervensi yang menyeluruh serta efektif.

Katanya isu gejala sosial mampu menggugat kesejahteraan keluarga, masyarakat dan keluarga yang kian menular pada kadar yang membimbangkan dalam kalangan remaja masyarakat India. "Selain itu, unit ini akan membantu golongan remaja bermasalah kembali ke pangkal jalan melalui kaunseling dan pendidikan," katanya.

Resolusi itu disokong sebulat suara oleh perwakilan di mesyuarat dua hari yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

-- BERNAMA