MIC Lulus Pindaan Perlembagaan Bagi Kembalikan Kegemilangan Parti - Dr Subramaniam
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- MIC meluluskan 49 pindaan perlembagaan parti dalam memperkasa serta mengembalikan kegemilangan parti berusia 71 tahun itu, kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Katanya antara yang dipinda ialah Artikel 58.8 iaitu setiap pemimpin yang hendak bertanding jawatan presiden MIC perlu mendapatkan pencalonan daripada 250 ketua cawangan berbanding 50 pencalonan sebelum ini.
Pindaan lain memperuntukkan presiden hanya boleh memimpin parti itu untuk tiga penggal berbanding sekarang yang tiada had tempoh tertentu.
"Kesemua 4,000 anggota MIC termasuk 1,500 perwakilan telah bersetuju sebulat suara berhubung pindaan sebelum pindaan itu dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk persetujuan. Buat masa ini, MIC perlu melakukan beberapa pembetulan sebelum hantar ke RoS.
"Pindaan ini yang diluluskan semalam akan diguna pakai untuk pemilihan parti tahun depan yang dijangka diadakan selepas pilihan raya umum ke-14," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional.
Menurut Dr Subramaniam, pindaan itu merupakan antara usaha MIC dalam mewujudkan proses demokrasi dalam parti agar MIC terus kekal relevan dalam kalangan masyarakat India selain mengukuhkan dan mengaktifkan kembali peranan cawangan-cawangan MIC yang selama ini kurang aktif.
Dalam pada itu, pindaan perlembagaan tersebut disambut baik oleh Bendahari Agung MIC Datuk Seri S.Vell Paari yang menyifatkan pindaan sebagai usaha membawa parti ke arah hala tuju lebih baik dalam persekitaran politik yang sedang dihadapi pada hari ini.
"Selama ini, ketua ketua bahagian dan cawangan MIC sahaja yang boleh mengundi menentukan kepimpinan tertinggi parti. Kini, pindaan perlembagaan membuka peluang kepada akar umbi khususnya Putera, Puteri, Wanita dan Pemuda di peringkat cawangan untuk memilih presiden dan jawatan tertinggi parti semasa pemilihan nanti.
"Ini juga satu usaha parti memperkasa kuasa generasi muda dalam parti selepas ini," katanya.
Naib Presiden parti Datuk T. Mohan berkata pindaan perlembagaan parti akan menjadikan MIC berfungsi sebagai satu pasukan yang lebih aktif sekali gus menjamin masa depan cerah.
Beliau berkata pindaan terbabit akan memberi nafas baharu kepada ketua cawangan dalam membantu pucuk pimpinan tertinggi parti dengan mendapatkan suara akar umbi.
"Pindaan yang dilakukan membantu mentransformasikan parti untuk berfungsi sebagai satu parti yang mantap dan kekal relevan pada masa-masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Datuk Mohana Muniandy berkata pindaan perlembagaan parti memberi lebih ruang kepada golongan wanita untuk terlibat dalam perkara- perkara penting parti.
"Antaranya ialah ketua wanita di setiap cawangan diberi peluang untuk mengundi dalam pemilihan jawatan presiden parti.
"Keanggotaan wanita dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) juga ditingkatkan kepada empat orang daripada sayap Wanita dan dua orang daripada sayap Puteri, berbanding masing-masing satu sekarang," katanya.
-- BERNAMA