Pilih Wakil Mampu Selesai Masalah - Kayveas
IPOH, 24 Sept (Bernama) -- Rakyat di negara ini perlu memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat serta mendengar suara dan mampu menyelesaikan masalah mengikut saluran yang tepat, kata Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas.
Beliau berkata hanya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sahaja yang mempunyai semua kriteria itu untuk membela nasib dan memperjuangkan hak rakyat berbilang kaum serta agama di negara ini berbanding pemimpin pembangkang yang hanya memperjuangkan agenda peribadi.
"Pembangkang hanya mempunyai nafsu kuasa semata-mata dan sekiranya mereka menguasai negara, mereka akan bergaduh sesama sendiri mengenai jawatan perdana menteri dan menteri kabinet...ini hanya membuang masa sahaja," katanya ketika berucap pada Konvensyen MyPPP Dewan Undangan Negeri Buntong di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata MyPPP akan mengetengahkan calon yang boleh berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa jika diberi peluang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 kelak.
"Kita hanya menampilkan calon wakil rakyat yang mampu meluangkan masa bersama rakyat dan tinggal di kawasan yang dimenangi selepas pilihan raya supaya mudah berkhidmat sepanjang masa kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA