Kaum Cina Rakan Kongsi BN Dan Umno - Annuar
SEREMBAN, 25 Sept (Bernama) -- Kaum Cina di negara ini secara asasnya merupakan rakan kongsi yang baik kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO sejak dahulu lagi, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata bagaimanapun sesetengah daripada mereka telah dipengaruhi sentimen negatif dan fitnah yang dibuat DAP menyebabkan mereka ini terpedaya, sekaligus menjauhkan diri daripada BN dan UMNO.
Namun beliau percaya masih ramai lagi orang Cina yang tidak mempercayai perjuangan DAP yang didakwanya sebagai licik dan suka menguasai walaupun tidak memerintah, katanya kepada pemberita pada Bicara Minda dan Sesi Dialog bersempena Jelajah Perjuangan For All, di sini, malam ini.
"Seperti di Selangor, walaupun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (daripada PKR) yang memerintah tetapi DAP yang menguasai dan di Parlimen pun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetapi yang menguasai DAP. Mereka akan pastikan orang yang memerintah akan ikut cara DAP,"dakwanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata dalam suasana politik masa kini, UMNO dan parti komponen BN perlu bijak dalam menjawab dan mengupas pelbagai isu yang ditimbulkan dan diputar belit oleh pembangkang.
"Bila orang putar-belitkan isu, kita nak memastikan kita jawab setiap isu dan mendepani setiap permasalahan sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab. Dalam suasana politik matang, kita mesti lebih bersedia berwacana secara intelektual dan bertanggungjawab,"katanya.
Annuar berkata UMNO dan parti komponen BN juga perlu bijak membicarakan tentang asas dan dasar parti yang akan menterjemah apa yang mampu dilaksanakan.
"Kita (parti) dah fikir baik buruk untuk rakyat tetapi pembangkang akan putar belit. Ini iktibar yang saya tengok setakat mana kita dah (adakan) jelajah dan saya fikir UMNO dan parti komponen BN mesti bangun dan tampil berhadapan dengan realiti politik,"katanya.
Turut hadir pada program itu ialah Setiausaha UMNO Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi dan Ketua UMNO Bahagian Seremban Datuk Abu Ubaidah Redza.
-- BERNAMA