10,000 Sukarelawan Bantu PDRM Pada PRU14




Datuk Seri Zulkifli Abdullah

KUANTAN, 28 Sept (Bernama) -- Sebanyak 10,000 anggota pasukan sukarelawan polis (PVR) seluruh negara akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata sukarelawan itu akan membantu menjalankan tugasan harian di balai kerana kebanyakan anggota akan bertugas di pusat mengundi atau melakukan tugasan lain berkaitan pilihan raya.

"Mereka (PVR) akan ditempatkan di balai polis bagi melakukan tugasan harian seperti menjaga balai, mengambil laporan polis dan tugas lain yang difikirkan bersesuaian.

"Saya rasa ia boleh dilakukan kerana PVR juga menjalani latihan seperti pegawai dan anggota PDRM dan pernah membantu dalam tugas rondaan dan mengikuti operasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Terdahulu, Zulkifli mengadakan lawatan kerja dan mempengerusikan mesyuarat persiapan PRU14 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azri Ahmad dan Komander Briged Tenggara Datuk Roslan Bek Ahmad.

Beliau juga memaklumkan PDRM telah mengemukakan permohonan penambahan aset kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan bagi memantapkan pasukan untuk menghadapi PRU14.

Katanya antara peralatan yang difikirkan perlu adalah Light Strike Force (LSF) di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang bermanfaat jika berlaku kekacauan atau insiden tidak diingini.

-- BERNAMA