BN Hantar Sebahagian Nama Calon PRU14 Pada SPRM





KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) telah menghantar sebahagian senarai nama calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan.

Perdana Menteri berkata senarai nama tambahan akan dikemukakan kepada suruhanjaya itu setelah pihaknya membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Kita dah ada nama-nama calon tetapi belum sampai peringkat nak mengesahkan dan sebahagian nama-nama telah ada di tangan SPRM," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn di sini, malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa.

Najib berkata setakat ini BN hanya satu-satunya parti yang mengemukakan senarai nama calon untuk saringan.

Dalam pada itu, Presiden UMNO itu berkata pelancaran sistem pengangkutan canggih Transit Aliran Massa (MRT), kejayaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kemeriahan sambutan kemerdekaan negara banyak mempengaruhi suasana yang memberi momentum positif pada BN ketika ini.

"Namun seperti biasa dalam keadaan politik, kita kena pastikan momentum positif dapat kita teruskan pada masa akan datang," katanya.

Mengulas pembentangan Bajet 2018 pada Oktober ini, Najib berkata ia dijangka memberi kesan positif kepada 'mood' rakyat.

"Majlis Tertinggi juga ada memberikan cadangan tertentu yang saya akan kaji lebih lanjut seperti mana yang saya terima daripada semua pihak termasuk rakyat yang memberi cadangan (Bajet 2018) kepada kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan juga akan mengumumkan 'sesuatu' untuk sekolah tahfiz di seluruh negara dalam belanjawan itu.

Perdana menteri berkata kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung pada 14 Sept lepas mendapat perhatian anggota MT pada mesyuarat malam ini.

"MT berharap kerajaan akan bertindak secara tegas mengutamakan soal keselamatan pelajar-pelajar...perkara-perkara lain boleh diambil kira kemudian iaitu kurikulum dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata UMNO akan menjadikan Perhimpunan Agung UMNO pada 5 hingga 9 Dis depan sebagai perhimpunan yang meriah dan mendapat sambutan positif.

Katanya jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan Ahmad Zahid telah menyediakan pelbagai program sekitar perhimpunan agung itu.

-- BERNAMA