IPF Ikrar Pastikan Kemenangan BN Pada PRu14 - Presiden IPF Sambanthan




Datuk M. Sambanthan (Gambar fail Bernama)

Oleh Rhoma Ahmad Razali

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) berikrar untuk memastikan Barisan Nasional terus memperoleh sokongan masyarakat India, sekali gus mendapat mandat besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata presidennya Senator Datuk M.Sambanthan.

Katanya, walaupun IPF hanya sebuah parti yang mesra BN dan tidak mempunyai wakil di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, tetapi dengan pengalaman yang telah menjangkau 27 tahun dalam politik tanah air dengan keanggotaan 135,800 orang, parti itu mempunyai kekuatan tersendiri untuk membantu memastikan kemenangan BN.

"Walaupun kita bukan parti dalam komponen BN, hanya parti mesra BN, tetapi IPF adalah sebuah parti yang begitu dekat dengan masyarakat India terutamanya mereka yang tinggal di kawasan ladang, pinggir bandar dan luar bandar."

"IPF mendapat sokongan baik masyarakat India, terutama golongan berpendapatan rendah dan pekerja ladang, dan saya percaya jika masyarakat India terus diberi perhatian, jumlah sokongan ini akan terus meningkat yang boleh membantu BN," katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Katanya, bagi menghadapi PRU akan datang, IPF telah pun melancarkan jentera pilihan raya di peringkat bahagian dan negeri sejak beberapa bulan lalu yang menjalankan program-program tertentu bagi meraih sokongan rakyat terhadap BN.

Sambanthan berkata, ia termasuk membuat pendaftaran pengundi muda dan menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada masyarakat luar bandar terutama kaum India yang tinggal di ladang-ladang.

Katanya, jentera pilihan raya di peringkat nasional pula akan dilancarkan pada 8 Okt depan sempena Perhimpunan Agung IPF ke-25, sekali gus akan menandakan IPF telah bersiap sedia sepenuhnya dalam memperkukuh dan membantu BN untuk menghadapi PRU14.

Dalam pada itu, Sambanthan berkata IPF turut menaruh harapan untuk diberi kerusi bagi bertanding pada PRU14 sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan parti itu selama ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu terpulang kepada keputusan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dan IPF akan tetap setia bersama BN, jika pun tidak diperuntukkan sebarang kerusi pada pilihan raya itu nanti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Najib yang juga Perdana Menteri kerana telah melantiknya sebagai senator baru-baru ini, dan menyifatkan ia sebagai satu penghormatan kepada masyarakat India, selain memperkukuh perjuangan parti itu.

-- BERNAMA