Kritikan Bantu UMNO Menjadi Bertambah Baik - Annuar Musa
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- UMNO memerlukan kritikan dan pendapat masyarakat untuk terus kekal revelan serta membantu kerajaan menambah baik kehidupan rakyat negara ini, kata Ketua Penerangannya Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata segala bentuk maklum balas daripada orang ramai sentiasa diambil kira dan dijadikan batu loncatan untuk terus membaiki parti itu.
"Dalam sesi penerangan, sesi town hall, majlis bersama rakyat, Jelajah For All selama ini, kita akan rapatkan saf dengan anggota dan bukan anggota. Di situ, banyak komen, kritikan dan pendapat kita terima dan ambil maklum. Kita tidak lari daripada masalah.
"Kalau ada siaran langsung program itu di Facebook, akan ada komen daripada 'haters' yang saya sifatkan baik untuk kita terima dan kita semak. Mereka kritis dalam memberi teguran tetapi mereka bertanggungjawab," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya UMNO mendekati semua pihak termasuk mereka yang menegur parti itu.
Sementara itu, Annuar berkata UMNO menerima perkembangan positif dari segi permohonan untuk menyertai parti yang meningkat setiap bulan dengan majoriti permohonan daripada golongan berusia 40 tahun ke bawah.
Beliau berkata pada Ogos misalnya, sebanyak 5,155 permohonan baharu diterima dan diproses dengan 3,381 permohonan dibuat dalam talian oleh golongan muda.
"Perkembangan ini amat membanggakan kerana ia menunjukkan anak muda menerima UMNO dengan baik. Anak muda terus tampil ke depan untuk menyertai UMNO sebagai anggota walaupun saya percaya masih ramai yang menyokong tanpa menjadi anggota secara rasmi di luar sana," katanya.
Justeru, beliau berharap semua cawangan parti itu membuka pintu keanggotaan dengan lebih luas kepada golongan belia dalam usaha menambah keanggotaan UMNO yang kini mencecah 3.6 juta orang.
Ditanya sama ada UMNO akan memperkenalkan lebih ramai calon muda pada pilihan raya umum ke-14, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata perkara itu ditentukan oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
-- BERNAMA