MCA Kemuka Lebih 50 Peratus Muka Baharu Untuk Dipilih PM
KANGAR, 30 Sept (Bernama) -- MCA menyenaraikan lebih 50 peratus muka baharu untuk dicalonkan mewakili parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi, kata presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata senarai itu telah diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk dipertimbangkan.
"Kita bagaimanapun terus memantau dan melihat prestasi mereka. Jika didapati prestasi mereka memuaskan, tidak ada sebab mengapa mereka tidak wajar dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan MCA Perlis di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi MCA Perlis Datuk Chua Tee Yong turut hadir.
Liow berkata beliau berpuas hati dengan persediaan jentera pilihan raya MCA untuk menghadapi PRU14 serta meraih sokongan pengundi-pengundi Cina.
"Di Perlis, walaupun kita kalah kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Indera Kayangan, namun kita tetap turun padang membuat kerja dan ini termasuk membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini," katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Liow berkata beliau telah menjelaskan parti itu perlu ada perwakilan yang kukuh dalam kerajaan supaya agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksana secara berterusan dengan baik.
"Kerajaan Barisan Nasional melakukan yang terbaik. Pencapaian ekonomi kita untuk enam bulan pertama telah mencecah 5.7 peratus manakala nilai perdagangan hampir mencecah RM1.4 trilion.
"Pembangkang pula hanya bijak memainkan emosi rakyat dan mempolitikan segala-galanya termasuk pelaburan China dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat," katanya.
-- BERNAMA