Gerakan Senarai 50 Anggota Untuk Tapisan SPRM
BENTONG, 30 Sept (Bernama) -- Gerakan telah mengemukakan senarai nama 50 anggota parti yang mempunyai kewibawaan untuk dicalonkan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata selepas melepasi tapisan SPRM, mereka seterusnya perlu melepasi tapisan dalaman parti sebelum nama mereka boleh disenaraikan untuk dirujuk kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk dipertimbangkan sebagai calon.
"Saya boleh katakan bahawa 60 peratus daripada 50 orang yang dikenal pasti ini adalah muka baharu dan mereka ini telah bekerja keras di kawasan masing-masing dan dikenali serta mesra dengan masyarakat," katanya.
Mah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pahang di ibu pejabat parti di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Gerakan Pahang Tee Yew @ Yee Yew.
Berhubung dakwaan 'kepulangan semula' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari di Pahang kepada Gerakan, Mah berkata perkara itu masih dalam perbincangan.
"Keputusan akhir tertakluk kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN", katanya.
Untuk rekod, kerusi DUN Ketari adalah milik Gerakan pada pilihan raya 2008 sebelum diberikan kepada MCA pada pilihan raya ke-13, menjadikan Gerakan hanya bertanding di DUN Triang dan Tanah Rata pada 2013 di Pahang.
"Kami juga memutuskan supaya perdana menteri membuat keputusan di mana Gerakan akan bertanding (PRU14), namun kami tetap bekerja keras untuk memastikan prestasi pada pilihan raya akan datang lebih baik.
"Pilihan raya umum lalu, kami bertanding di 45 kerusi, iaitu 12 Parlimen dan 33 DUN tapi hanya menang di dua Parlimen dan tiga DUN, namun tidak bermaksud kami tidak boleh bangkit semula," katanya.
Mah berkata selain sokongan rakyat yang semakin baik kepada BN, mereka juga melihat kehadiran hampir 42 peratus pengundi muda pada PRU14 akan datang sebagai 'penyebab' yang boleh membawa kepada kemenangan.
Katanya, apa yang penting adalah untuk anggota Gerakan membetulkan fakta yang dimainkan pembangkang, kerana kajian mendapati 53 peratus daripada pengundi muda masih belum membuat keputusan parti pilihan mereka.
"Apa yang penting adalah kita bersatu hati, bukan hanya untuk menangkan calon kami, tetapi juga calon dari parti komponen. Kita ada kelebihan kerana kita ada permuafakatan, berbanding dengan pembangkang yang berlainan idea," katanya.
Mah berkata sekiranya Gerakan diberi peluang bertanding di tiga kerusi DUN di Pahang pada PRU14, beliau yakin mampu menang.
-- BERNAMA