Mas Ermieyati Harap Wakil Puteri Dikekalkan Dalam PRU 14




KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Puteri UMNO berharap semua wakil rakyatnya yang sedia ada akan dikekalkan oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya umum ke 14.

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini kerana kesemua mereka telah memberi khidmat dan komitmen terbaik.

"Kita juga ada senarai calon... ada muka baharu dan muka lama. Saya akan kemukakan kepada Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) apabila tiba masanya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Urutan Malaysia, di sini hari ini.

Katanya sayap itu berharap UMNO akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya umum akan datang.

"Bila saya bincang dengan Perdana Menteri (Najib)... beliau pun cakap akan beri peluang lebih banyak kepada calon wanita dan orang muda," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata bermula minggu depan beliau akan ke setiap negeri untuk berjumpa dengan kepimpinan Puteri serta pengerusi badan perhubungan UMNO negeri.

"Kita juga akan menggembleng tenaga setiap (parti) komponen (Barisan Nasional) dan sayap UMNO bagi menguatkan lagi parti dan mendekati pengundi," katanya.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata Puteri UMNO telah mengadakan bengkel prabajet bagi mendapatkan maklum balas akan keperluan wanita muda dan hasilnya telah disampaikan kepada perdana menteri.

Mengenai program hari ini, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata Urutan Malaysia yang diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu akan dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

"Urutan Malaysia ini adalah gabungan teknik terbaik urutan tradisional kaum Melayu, India, Cina, Peranakan dan etnik pribumi Sabah dan Sarawak... kita harap Urutan Malaysia ini setanding dengan urutan Bali dan urutan Thailand," katanya.

-- BERNAMA