Pengerusi Tetap UMNO Teluk Kemang Meninggal Dunia




SEREMBAN, 2 Okt (Bernama) -- Pengerusi Tetap UMNO Teluk Kemang Hamzah Yahya, 58, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bagan Pinang di sini hari ini.

Anak kedua Allahyarham Mohd Fadzil, 32, berkata ayahnya disedari meninggal dunia ketika ibunya mahu mengejutkan Allahyarham pada waktu subuh.

"Sebelum itu arwah memang ada sesak nafas... tetapi arwah tidur macam biasa dan ketika ibu hendak kejutkan bapa ketika Subuh, waktu itulah baru ibu perasan arwah bapa sudah tidak sedarkan diri lagi," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Menurutnya mereka kemudian menghubungi pegawai perubatan yang datang ke rumah bapanya dan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.

Mohd Fadzil berkata arwah merupakan penghidap diabetes kronik sejak lebih setahun lalu.

Allahyarham meninggalkan isteri Zaleha Yusof, 60, dan tiga anak berusia 26, 32 dan 35 tahun serta tiga cucu berusia dua bulan hingga lima tahun.

Sementara itu,Ketua UMNO Teluk Kemang Tan Sri Mohd Isa Samad berkata UMNO bahagian tersebut kehilangan seorang tokoh pemimpin susulan kematian Hamzah.

"Arwah saya anggap seperti adik kerana arwah sudah lama dalam UMNO, sejak Pemuda UMNO dahulu. Arwah juga sekampung dengan saya iaitu Kampung Bagan Pinang.

"Sejak setahun dua ini, kondisi arwah memang kurang baik dan tanggungjawabnya juga digalas timbalannya," kata Mohd Isa.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam PD Utama di sini, selepas solat Asar.

--BERNAMA