Tindakan Pembangkang Enggan Beri Senarai Calon Kepada SPRM Beri Kelebihan Kepada BN




Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

PASIR SALAK, 2 Okt (Bernama) -- Tindakan pembangkang enggan menyerahkan senarai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata UMNO serta BN sentiasa mahukan calon yang bersih bertanding dalam PRU14 dan kerana itu senarai nama telah diberikan untuk disaring lebih awal.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata tindakan itu dibuat bagi mengelak masalah lebih besar berlaku selepas pilihan raya berlangsung apabila calon terlibat gagal dalam saringan.

"Langkah awal ini diambil bagi memastikan apabila calon-calon yang menang PRU14 kelak akan memberi tumpuan sepenuhnya ketika berkhidmat kepada rakyat yang mengundi mereka.

"Tiada gunanya jika calon itu menang tetapi mempunyai masalah apabila disaring SPRM selepas pilihan raya dan ini akan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan ahli parlimen dan sumbangan Majlis Pembangunan Parlimen Pasir Salak kepada kira-kira 100 orang pemuda dalam kawasan parlimen tersebut di sini.

"Mereka (pembangkang)nak bagi senarai atau tidak buatlah apa yang mereka suka, tetapi jika berlaku masalah kelak tanggung la sendiri.

"Kita (UMNO dan BN) tidak bimbang kerana kita sudah hantar senarai nama dan mungkin ini satu kelebihan kepada kita untuk jangka masa panjang," katanya Tajuddin.

--BERNAMA