MyREN-X Mampu Mentransformasikan Pendidikan Tinggi Negara - Najib
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Infrastruktur siber berkelajuan tinggi Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREN-X) mampu mentransformasikan pendidikan tinggi negara dan seterusnya memenuhi hasrat negara melahirkan pemenang anugerah Nobel, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata transformasi itu akan membolehkan pembelajaran di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa dilaksanakan dalam usaha menghasilkan sumber tenaga kompetitif yang memenuhi keperluan pasaran kerja.
Selain menghasilkan pemenang anugerah Nobel, infrastruktur siber MyREN-X dengan kelajuan 100 gigabit sesaat (gbps) dapat memacu lagi bidang penyelidikan termasuk dengan jalinan kerjasama penyelidik seluruh dunia, Penyelidikan Terkehadapan dengan para penyelidik di seluruh dunia, katanya ketika melancarkan MyREN-X di Universiti Malaya di sini hari ini.
MyREN-X, Ianjutan kepada MyREN yang dilancarkan pada 28 Mac 2005 adalah prasarana komputasi dan storan bagi memenuhi keperluan pembelajaran dan penyelidikan secara lestari kepada institusi pendidikan tinggi dalam negara.
Perdana menteri berkata MyREN sebelum ini tidak mencukupi untuk menampung aktiviti penyelidikan dan pendidikan pada tahap seperti universiti yang berada di kedudukan 50 teratas di dunia serta setara dengan infrastruktur siber seperti dinikmati negara maju.
Najib berkata MyREN-X dilihat mampu menjadi pencetus perubahan dalam memacu kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan di kalangan warga institusi pengajian tinggi negara ini.
"Saya berkeyakinan dengan adanya kapasiti kelajuan infrastruktur siber yang lebih tinggi dan kemampuan penyimpanan data berskala besar, akan menyebabkan keupayaan untuk berkarya menjadi lebih rancak, kreatif dan inovatif di mana kandungan pengetahuan tersebut boleh ditukarkan ke dalam bentuk digital serta membolehkan program akademik baharu ditawarkan kepada pasaran dunia," katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata infrastruktur siber seperti ini perlu memandangkan negara maju seperti Amerika Syarikat berupaya menyediakan sambungan pada kadar beberapa kali 100 gigabait sesaat untuk universiti mereka, berbanding negara ini yang hanya pada kadar maksimum dua gigabait sesaat.
"Ini mengakibatkan para penyelidik dan pendidik kita masih terbatas dan ketinggalan dalam pelbagai bidang khususnya untuk menghasilkan kajian berimpak tinggi yang melibatkan data besar," katanya.
Malah, beliau berkata tatkala Malaysia sedang dalam persediaan Revolusi Perindustrian Keempat dan era Ekonomi Digital, satu infrastruktur siber diperlukan yang mana ia mampu memudahkan akses, kerjasama dan capaian kepada maklumat dengan lebih pantas serta berkesan terutama bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.
Katanya, infrastruktur siber itu akan dikendalikan oleh sebuah konsortium yang terdiri daripada kesemua 20 universiti awam dinamakan, MYREN Network Sdn Bhd atau MNSB diterajui Universiti Teknologi MARA melalui UiTM Holdings Sdn Bhd.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
-- BERNAMA