PRU14: MCA Siap Sedia Rampas Parlimen Gelang Patah
KAMPAR, 5 Okt (Bernama) -- MCA sudah bersiap sedia dengan pelbagai gerak kerja sejak empat tahun lalu bagi merampas semula Parlimen Gelang Patah di Johor daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata MCA Bahagian Gelang Patah sentiasa bekerja keras bagi meraih sokongan pengundi untuk mengembalikan semula kerusi Parlimen di kawasan berkenaan kepada Barisan Nasional (BN).
"Kita (MCA) tidak pernah berhenti bekerja dan menggembleng tenaga bersama-sama parti komponen BN dengan melakukan pelbagai gerak kerja dan strategi bagi merampas semula kerusi yang kini disandang oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
"Biar siapa pun (calon pembangkang) yang akan bertanding di kawasan itu, MCA akan tetap lawan kerana kerusi Gelang Patah pernah dimenangi oleh wakil MCA sebelum ini dan kita yakin dapat merampas kembali kerusi tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Cina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Negeri Perak di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di sini hari ini.
Ka Siong, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata MCA yakin segala usaha dan gerak kerja yang dilakukan parti itu mampu membuahkan hasil memandangkan penduduk di kawasan Gelang Patah sudah mula bosan dengan anggota Parlimennya yang jarang berada di kawasan itu.
"Penduduk di Gelang Patah sangat 'rindukan' Kit Siang yang dilihat lebih banyak berada di negeri atau kawasan lain berbanding di kawasan yang diwakilinya sendiri," katanya.
Pada Mei lepas, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya bersetuju meletakkan calon MCA untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah namun calon parti itu akan ditentukan oleh pucuk kepimpinan BN pusat.
Pada PRU13, Kit Siang menewaskan bekas menteri besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.
-- BERNAMA