MIC Sedia Bincang Pertukaran Kerusi - Dr S. Subramaniam





KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- MIC sedia berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bertukar kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Namun perbincangan itu, katanya, tidak akan menukar hasrat MIC untuk mempertahankan sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRU13 lalu.

Katanya, prinsip pembahagian kerusi sedia ada perlu dikekalkan kerana sebarang pertukaran akan memberi implikasi kepada sistem dan tradisi yang diamalkan semenjak dulu lagi.

"Setakat ini memang tiada perancangan untuk meninggalkan kerusi-kerusi sedia ada, tetapi dari segi perpindahan kerusi mungkin pihak kita boleh berbincang. MIC sedia berbincang tetapi tidak mengenai pengurangan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh parti.

"Kita akan cari jalan penyelesaian yang baik melalui semangat kekeluargaan dalam BN, saya percaya ia boleh diselesaikan" katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr S. Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata buat masa ini keputusan pengagihan kerusi masih lagi dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, pemilihan seseorang calon itu perlu melalui beberapa saringan bagi memastikan hanya calon yang terbaik sahaja akan diletakkan bagi membantu kemenangan BN.

"Kita belum muktamadkan senarai calon, kerana kita hanya akan letak 'winnable candidates' (calon disukai dan boleh menang) yang mempunyai sokongan di peringkat akar umbi," katanya.

-- BERNAMA