Gerakan Pengundi Sedar Akan Beri Rating Setiap Calon Parlimen PRU-14
PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengambil inisiatif menubuhkan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang akan mengeluarkan rating untuk semua 222 calon kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi memudahkan pengundi membuat keputusan.
Presiden ISMA Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata rating adalah berdasarkan kaji selidik pandangan penduduk setempat terhadap seseorang calon tanpa mengambil kira parti politik yang diwakili calon tersebut.
"GPS bukan proksi atau ditaja oleh mana-mana parti politik atau organisasi dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan GPS, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi GPS Aminuddin Yahya berkata entiti bebas tersebut ditubuhkan bagi memberi maklumat tepat kepada rakyat tentangi prestasi, jati diri dan kewibawaan calon-calon yang bertanding.
Aminuddin berkata kaji selidik akan dijalankan oleh 40,000 anggota ISMA di seluruh negara yang 80 peratus adalah golongan muda dan hasil kajian akan diuar-uarkan di media sosial serta melalui sesi penerangan di setiap kawasan parlimen.
"Kita akan menilai calon sedia ada dan calon baharu. Bagi anggota parlimen sedia ada yang kembali menjadi calon, kita juga akan lihat sama ada dia mengotakan janji-janji pada PRU-13.
"Bagi calon baharu pula kita akan buat kaji selidik selepas nama mereka diumumkan berdasarkan pendirian atau kenyataan mereka kepada media sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA