PRU14: Hasrat DAP Tidak Gugat Usaha BN Rampas Kelantan




MACHANG, 8 Okt (Bernama) -- Hasrat DAP untuk turut bertanding di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan memberi impak kepada usaha Barisan Nasional (BN) menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS di negeri tersebut.

Timbalan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata parti pembangkang itu berhak untuk bertanding di mana-mana sahaja tanpa halangan termasuk di Kelantan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu kerana ia dibenarkan oleh sistem demokrasi berparlimen.

"Dalam konteks negeri Kelantan kita tetap melakukan usaha untuk meraih keyakinan rakyat pelbagai kaum agar memberi sokongan kepada BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis wacana kelestarian keselamatan dan keharmonian negara di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengesahkan DAP memohon untuk bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada PRU14.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Ahmad Jazlan, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mahu warga pendidik terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada bagi menjamin kemakmuran dan keharmonian negara terus terpelihara.

Beliau berkata mereka perlu sensitif dengan keadaan semasa dan memainkan peranan menjelaskan isu-isu yang timbul untuk menangkis fitnah terhadap kerajaan.

"Sejak akhir-akhir ini sudah ada usaha-usaha untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan di luar kotak demokrasi dan mensabotaj ekonomi negara serta cuba melakukan kekerasan untuk menakutkan pelabur dan mencemarkan imej negara di mata dunia," katanya.

-- BERNAMA