Najib Yakin IPF Mampu Main Peranan Memenangkan BN Dalam PRU 14
SERDANG, 8 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak yakin parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) mampu memainkan peranan penting dalam menjamin kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Perdana Menteri berkata walaupun belum menjadi anggota parti komponen BN, IPF yang mewakili masyarakat India berpendapatan rendah telah menunjukkan kesungguhan dalam memperjuangkan dan mempertahankan agenda kerajaan selama 27 tahun penubuhannya.
"Walaupun belum menjadi sebahagian komponen BN, ia tidak bermakna IPF tidak boleh berikan kerjasama pada kerajaan dalam memperjuangkan masalah kaum India.
Sebab itu, kita amat hargai sokongan dan kesetiaan IPF. Malah saya juga yakin dan percaya parti itu akan terus berjuang bagi menjamin kemenangan besar kepada BN,"kata Najib, yang juga Pengerusi BN, ketika berucap menutup Perhimpunan Agung IPF ke-25 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.
Turut hadir Presiden IPF Senator Datuk M. Sambanthan dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Najib berkata bagi pihak kerajaan, usaha membantu masyarakat India sentiasa dipertingkat atas semangat 'nambikei' atau kepercayaan bahawa semua golongan masyarakat perlu dilayan secara adil dan inklusif.
Perdana Menteri berkata atas prinsip tidak bercakap kosong, pelbagai bantuan telah diumumkan kerajaan kepada masyarakat India, khususnya dalam perkara melibatkan pembangunan pendidikan dan ekonomi.
"Di bawah pentadbiran saya, peruntukan sebanyak RM900 juta diberikan untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), RM1.2 bilion telah diluluskan kepada usahawan mikro kredit kaum India serta mengarahkan 700 tempat tambahan pengajian di institusi pengajian tinggi awam disediakan kepada pelajar kaum itu.
"Jika dasar meritokrasi yang diperkenal sebelum zaman saya tidak dilonggarkan, yang akan menjadi mangsa adalah masyarakat India,"katanya.
Najib berkata jika beliau tidak membantu dengan berbuat sesuatu, penyertaan pelajar masyarakat India di Universiti Awam sekadar tiga atau empat peratus, bukan tujuh peratus seperti sekarang.
Perdana Menteri berkata ia merupakan komitmennya dalam membantu masyarakat kaum India, sekali gus memastikan mereka memahami bahawa kerajaan tidak 'vetti pechu' atau bercakap kosong, sebaliknya satu 'nijam', iaitu bercakap benar.
Untuk kesinambungan kemajuan kaum India, beliau meminta pimpinan IPF memainkan peranan lebih besar dengan membawa sebarang permasalahan masyarakat itu untuk pertimbangan dan penyelesaian kerajaan.
Najib berkata beliau memahami masyarakat India memerlukan perhatian khusus kerajaan disebabkan cabaran tertentu yang dihadapi sebelum ini seperti transisi kehidupan sebagai komuniti estet kepada kehidupan di bandar dan pinggir bandar.
Katanya IPF juga boleh memainkan peranan dengan memberi input kepada Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dan akan berusaha memastikan parti komponen BN yang berkenaan memberi pengiktirafan sewajarnya terhadap peranan IPF.
Mungkin saya tidak dapat tunaikan sepenuhnya permintaan IPF. Tetapi saya sedang berusaha untuk meyakinkan pihak lain supaya bekerjasama dengan IPF dalam soal pembangunan masyarakat India, katanya.
-- BERNAMA