JR, JR Plus Tulang Belakang UMNO Dan BN





BAGAN DATUK, 8 Okt (Bernama) -- Jalinan Rakyat (JR) dan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) merupakan tulang belakang Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi serangan pembangkang, kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata sejak JR dilancarkan pada 2009 dan seterusnya JR Plus diwujudkan April lalu, kedua-dua jentera itu juga berperanan sebagai perantara kerajaan dengan rakyat.

"Pilihan Raya Umum (PRU) adalah peperangan dan bukan boleh main-main, untuk menang PRU kita kena ada dua perkara iaitu kepimpinan dan jentera,"katanya ketika berucap pada majlis pelancaran JR Plus Parlimen Bagan Datuk di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk.

JR dilancarkan pada 7 Ogos 2009, merupakan pendekatan Wanita UMNO untuk lebih strategik bagi menjalin hubungan rapat dan erat dengan rakyat.

JR Plus pula menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri selain turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata dalam 'peperangan' PRU, pembangkang sudah bersiap sedia dengan 'parang' dan 'pisau', tetapi senjata BN adalah perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau yakin dengan kekuatan lebih 1,000 anggota JR dan JR Plus, bahagian Bagan Datuk mampu memenangi majoriti undi lima kali ganda di kawasan berkenaan pada PRU akan datang.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyasarkan untuk mengekalkan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU14 dengan majoriti lima kali ganda berbanding 2,108 majoriti undi pada PRU13.

-- BERNAMA