GTMP Sasar Pendapatan RM180 Bilion, 200,000 Pekerjaan Menjelang 2030




KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) merancang untuk meningkatkan pertumbuhan sektor teknologi hijau Malaysia dengan sasaran pendapatan RM180 bilion, di samping mewujudkan lebih 200,000 pekerjaan hijau menjelang 2030.

Pelan itu menggariskan strategi teknologi hijau Malaysia bagi mewujudkan ekonomi cekap sumber serta rendah karbon.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, mengumumkan pelan induk tersebut di Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM 2017) Ke-8 di sini, hari ini.

"GTMP meletakkan asas untuk peralihan holistik dalam pendekatan Malaysia terhadap pembangunan sosio-ekonomi di samping mematuhi prinsip-prinsip kelestarian.

"Ia menggariskan pelan tindakan dan inisiatif bagi enam sektor utama, iaitu tenaga, pembuatan, bangunan, pengangkutan, sisa dan air," katanya ketika berucap sebelum melancarkan IGEM 2017.

Persidangan tiga hari bertema 'Powering Green Cities' bermula semalam. Ia dianjurkan KeTTHA dan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia).

Ia memaparkan 350 booth daripada 20 negara dan dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dengan matlamat untuk menjana RM1.6 bilion dalam potensi perniagaan dalam industri hijau.

Ongkili berkata, IGEM 2017 dijangka melepasi sasaran awal potensi perniagaan kerana acara itu telah mencatat RM700 juta dalam potensi perniagaan melalui program pemadanan perniagaan serta kerjasama strategik pada hari pertama persidangan tersebut.

Beberapa kerjasama strategik dijalin pada GEM 2017, termasuk perjanjian tiga pihak antara Petronas Dagangan Bhd, TNB Energy Services Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Tenaga National Bhd) serta GreenTech Malaysia bagi meningkatkan rangkaian stesen mengecas elektrik di seluruh negara di samping pemeteraian memorandum persefahaman antara Prasarana Malaysia Bhd dan GreenTech Malaysia bagi pembangunan pelan tindakan kelestarian Prasarana.

Ongkili berkata, GTMP menawarkan garis panduan, pelan serta rangka kerja yang konsisten bagi menyelaras matlamat strategik pihak berkepentingan di seluruh negara.

"Ini akan membolehkan usaha nasional yang bersepadu yang akan memanfaatkan teknologi hijau untuk mengimbangi keperluan pertumbuhan ekonomi di samping keperluan menjaga alam sekitar,? katanya pada sidang akhbar kemudiannya.

Menurut beliau, melalui gabungan usaha dan kepakaran sektor awam dan swasta, GTMP akan memberikan hasil jangka panjang yang berkesan, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pelopor gerakan hijau global sejajar dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050.

-- BERNAMA