Tolak Amalan Politik Kemarahan Dan Kebencian - Gerakan Sabah





SANDAKAN, 15 Okt (Bernama) -- Amalan politik ekstremis dan radikal yang dipenuhi dengan kemarahan dan kebencian perlu ditolak kerana ia hanya menjejaskan keamanan, keharmonian, ketenteraman dan pembangunan negara, kata Pengerusi Perhubungan Gerakan negeri Datuk Gordon Leong Vui.

Beliau berkata medan politik kini dipenuhi dengan kemarahan serta kebencian isu perkauman dan keagamaan yang dipolitikkan oleh parti pembangkang dan pihak tidak bertanggungjawab.

"Janganlah lagi mempolitikkan dan membangkitkan kebencian melalui isu perkauman dan keagamaan."

"Kami di Sabah tidak melayani dan seterusnya menolak sama sekali amalan politik yang ekstremis dan radikal ini," katanya pada Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PGRM Sabah yang dirasmikan oleh Presiden parti Datuk Seri Mah Siew Keong.

Menurutnya amalan politik yang sihat dan maju hanya akan tercapai apabila bersikap profesional dengan menyentuh dasar dan agenda pembangunan dan bukan emosi golongan tertentu.

Dalam pada itu, Gordon turut meminta pucuk pimpinan parti menyuarakan dan memperjuangkan tambahan kerusi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen untuk ditandingi parti itu di Sabah.

Katanya ini bagi menjadikan Gerakan lebih kuat dan dapat memain peranan lebih besar untuk rakyat Sabah.

Beliau berkata pada masa sekarang Gerakan Sabah hanya mewakili dua DUN di Sabah iaitu Elopura dan Tanjung Papat.

-- BERNAMA