Ambil Peluang Kenali Budaya Masyarakat, Lihat Pembangunan Di Batang Lupar
KUCHING, 20 Okt (Bernama) -- Sekumpulan pengamal media yang menyertai program Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 disaran mengambil peluang mengenali budaya masyarakat setempat dan melihat sendiri pembangunan yang dibawa kerajaan di kawasan parlimen tersebut.
Ketika membuat saranan itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai agensi pelaksana sentiasa berusaha menaik taraf kehidupan rakyat untuk mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.
"Program kembara itu adalah satu inisiatif yang amat baik serta memberi peluang kepada pengamal media untuk melihat sendiri pembangunan yang dibawa serta sedang dilaksanakan di kawasan Parlimen Batang Lupar.
"Ini membuktikan bahawa penduduk luar bandar sentiasa dibela kerajaan. Mungkin pada masa depan saya boleh laksanakan program sama di kawasan saya pula," katanya berucap pada pelepasan kembara itu, di sini pagi ini.
Turut hadir Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar.
Seramai 40 pengamal media dari beberapa agensi di Kuala Lumpur dan Kuching memulakan jelajah dalam program Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 yang bermula hari ini hingga Ahad.
Program berkonsepkan dokumentasi, santai dan travelog itu dianjurkan oleh KPWKM dengan kerjasama Pejabat Parlimen Batang Lupar.
-- BERNAMA