3,000 Terima Bantuan Program UMNO Bantu Rakyat 2.0




ALOR SETAR, 20 Okt (Bernama) -- Seramai 3,000 orang dari kawasan Parlimen Alor Setar terpilih untuk Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia hari ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata program itu merupakan pendekatan yang diambil UMNO untuk membantu rakyat kurang bernasib baik selain menjaga kebajikan mereka.

"Banyak program yang telah diatur antaranya kita akan berkunjung ke rumah-rumah penerima yang sakit dan kurang mampu yang memerlukan bantuan. Ini juga merupakan pendekatan kepada rakyat untuk melihat UMNO yang sentiasa membantu golongan memerlukan.

"Pendekatan ini dapat dilihat melalui usaha Biro Kebajikan UMNO dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab demi memastikan keperluan rakyat negara ini terjaga," katanya selepas merasmikan Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Pejabat Penghulu Mukim Tajar di sini hari ini.

Katanya UMNO akan terus memperkasakan program ini dengan mempelbagai dan memperbanyakkan pengisian mengikut kehendak dan keperluan masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program itu juga selari dengan matlamat UMNO yang mengutamakan kebajikan dan membela rakyat sepanjang masa selain untuk memperkukuh imej parti.

"Melalui program ini kita dapat turun ke akar umbi untuk membantu rakyat dan ini merupakan budaya dan cara UMNO laksanakan tugas sejak sekian lama tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.

"Misalnya, pada program hari ini bantuan diberikan dan dihantar terus ke rumah penerima dengan tidak mengira sesiapa atau parti asalkan bantuan itu sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Shamsul yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata turut diadakan adalah klinik motosikal percuma, program pemeriksaan dan penyelenggaraan pendawaian rumah serta memperbaiki dan menghias rumah yang dilawati.

Pada majlis itu juga, seramai 500 pelajar tahun satu dan dua sekolah kebangsaan di kawasan Parlimen Alor Setar menerima akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), pemberian kit bantuan makanan dan pemeriksaan motosikal percuma.

-- BERNAMA