Parlimen: Batal Lesen Syarikat Kawalan Keselamatan Ambil Pekerja Tanpa Dokumen




Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Gambar fail Bernama)

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Syarikat kawalan keselamatan yang didapati mengambil pekerja warga asing tanpa dokumen sah, memiliki dokumen palsu atau mempunyai penglibatan dalam unsur-unsur jenayah akan dibatalkan lesen tanpa ada amaran akhir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan tegas itu sebagai mengelak berlakunya penyusupan elemen keganasan ke dalam negara ini.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya bahagian keselamatan yang mengeluarkan permit syarikat-syarikat kawalan keselamatan persendirian sememangnya telah mengetatkan prosedur pengambilan pengawal keselamatan ini."

"Pihak polis juga telah melakukan penapisan terhadap setiap pengawal keselamatan yang diambil bagi mengelakkan apa yang berlaku di Sabah untuk tidak berlaku di tempat-tempat lain," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) sama ada KDN mengkaji semula prosedur pengambilan pengawal keselamatan berikutan terdapat kes pengawal keselamatan disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf memohon kerja menggunakan pengenalan diri palsu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tujuh lelaki warga Filipina disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 14 Sept lepas dengan kesemua suspek berumur antara 22 hingga 38 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat swasta.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah mengarahkan kesemua agensi penguat kuasa terutama yang bersempadan dengan negara Filipina untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan.

Beliau berkata ia berikutan tindakan agresif kerajaan Filipina dalam memerangi kumpulan pengganas secara besar-besaran telah meningkatkan risiko untuk anggota kumpulan pengganas menyusup masuk ke negara ini.

"Hasil daripada usaha yang dijalankan termasuk melalui pengumpulan maklumat perisikan dengan negara-negara jiran itu, pihak polis telah berjaya menahan tujuh pengikut Abu Sayyaf yang berselindung sebagai pengawal keselamatan. Kesemua mereka masih dalam siasatan polis dan saya tidak bercadang untuk mendedahkan maklumat lanjut berhubung perkara itu," katanya.

Selain itu, katanya, polis juga telah meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pemilik laman-laman web dan akaun media sosial yang terlibat dengan kegiatan penyebaran fahaman kumpulan militan Daesh.

Menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mengenai penganjuran 'Octoberfest' yang dibatalkan kerana didakwa terdapat maklumat pergerakan pihak tertentu yang merancang melancarkan serangan ke atas pesta arak itu, Ahmad Zahid berkata pihak polis telah menahan tiga individu yang merancang melakukan serangan itu.

"Maklumat-maklumat lain sedang kita kumpul dan pihak polis telah mengenal pasti individu-individu berkenaan. Oleh sebab itu, ketua polis negara telah memberikan amaran lebih awal supaya dibatalkan pesta berkenaan," katanya.

Jelasnya, langkah yang diambil untuk membatalkan pesta berkenaan adalah demi kebaikan bersama.

-- BERNAMA