Sentimen Perniagaan Malaysia Positif Ketika Ini - Pakar Ekonomi




KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sentimen perniagaan di Malaysia adalah positif ketika ini berikutan dasar, perancangan strategik serta wawasan kerajaan dalam bajet sebelum ini yang terbukti memacu pertumbuhan industri negara.

Memetik hasil tinjauan terbaharu Indeks Optimis Perniagaan (BOI) oleh Dun & Bradstreet, pakar ekonomi Profesor Dr Hoo Ke Ping berkata tahap keyakinan perniagaan meningkat sebanyak 3.4 peratus daripada suku kedua hingga suku ketiga.

Malah, ia dijangka terus menokok 5.52 mata peratusan pada tempoh suku ketiga hingga suku keempat tahun ini.

"BOI adalah penanda aras penting kerana ia memaparkan sentimen sebenar mereka yang paling terjejas iaitu pemilik perniagaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan BOI oleh Dun & Bradstreet itu juga berdasarkan tinjauan membabitkan 200 pemilik perniagaan dan eksekutif kanan industri utama di serata Malaysia.

Hoo berkata laporan itu turut mengiktiraf penekanan kerajaan terhadap usaha meningkatkan produktiviti dan kemahiran pekerja.

-- BERNAMA