Visi Ekonomi Najib Bukti Kejayaan PM Tadbir Urus Negara
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kanan) bersama Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (kiri) melihat kertas pelan pada sesi lawatan di Tapak Expo NegaraKu di Dataran Merdeka hari ini
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Visi ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bukti kejayaan pentadbirannya mentadbir urus negara sejak mengambil alih tampuk pimpinan pada 2009 hingga sekarang, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Abdul Rahman menyifatkan visi itu padat dengan fakta tepat dan gambaran sebenar dasar ekonomi yang dibawa perdana menteri.
"Ini adalah contoh seorang pemimpin berdisiplin. Beliau ada pelbagai dasar dalam menerajui pemerintahan secara lebih sistematik."
"Pelbagai fakta dan statistik lengkap yang terkandung di dalam visi itu menjadi kayu pengukur kepada kejayaan pentadbiran beliau," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.
Semalam perdana menteri mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia' bagi menjelaskan kepada rakyat antara lain cabaran ekonomi yang dihadapi pentadbirannya sejak 2009 dan pendekatannya dalam mengatasi cabaran-cabaran tersebut bagi membantu rakyat.
Abdul Rahman berkata kenyataan perdana menteri itu menjelaskan pelbagai isu antaranya keadaan ekonomi negara sebelum dan terkini, projek infrastruktur, kadar pendapatan rakyat, Cukai Barang dan Perkhidmatan serta 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau berkata pelbagai tindakan khusus yang diambil perdana menteri khususnya dalam aspek ekonomi negara amat membanggakan apabila beliau berjaya mengurangkan kebergantungan pendapatan negara kepada minyak, gas dan komoditi.
"Di bawah pimpinan Najib, beliau berjaya pelbagaikan sumber pendapatan negara sejajar dengan prestasi ekonomi yang terus baik," katanya.
Menurutnya, perdana menteri juga menarik perhatian rakyat menerusi kenyataan itu dengan menyatakan bahawa Bajet 2018 akan memberi keutamaan kepentingan rakyat serta memperbetulkan masalah lalu, sekali gus menjadikan Malaysia lebih kuat serta berdaya saing di semua peringkat.
"Oleh itu, saya percaya rakyat akan terus mendapat manfaat menerusi Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Jumaat ini," katanya.
-- BERNAMA