Pemimpin BN Sabah Lebih Minat Bincang Cari Kaedah Bantu Rakyat




KENINGAU, 25 Okt (Bernama) -- Pemimpin Barisan Nasional (BN) lebih berminat mencari kaedah membantu menyelesaikan masalah rakyat daripada membuang masa membuat kritikan melulu terhadap mana-mana pihak, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno.

Sairin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Liawan, berkata kepimpinan UMNO bersama pucuk pimpinan BN di kawasan Keningau telah melakukan sedaya-upaya untuk memastikan tidak ada rakyat di kawasan itu tercicir daripada sebarang bentuk pembangunan.

"Saya dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sentiasa berbincang bagaimana mencari dana untuk membiayai projek-projek pembangunan di kawasan Parlimen Keningau khususnya di Liawan," katanya ketika turun padang meninjau masalah rakyat dan projek kerajaan di kawasan Liawan hari ini.

Justeru, Sairin yang juga Ketua UMNO Bahagian Keningau membidas sikap pemimpin pembangkang di kawasan itu kerana sanggup berbohong dan menabur fitnah kononnya kerajaan tidak berbuat apa-apa kepada rakyat.

"Mereka (pembangkang) dengan sengaja menafikan segala kebaikan yang kerajaan berikan kepada rakyat ... dan itulah wajah sebenar pembangkang, (sanggup berbuat demikian) semata-mata untuk kelangsungan agenda politik mereka," katanya.



Mengenai program turun padangnya itu, Sairin berkata pihaknya telah memohon RM200 juta daripada kerajaan persekutuan untuk membiayai projek tebatan sungai di kawasan Liawan yang berisiko terhakis dan menjejaskan kediaman serta tanah sawah penduduk.

Sairin berharap permohonan berkenaan termasuk dalam Bajet 2018 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini.

"Matlamat saya ialah mahukan agar segala masalah rakyat di kawasan Liawan, khususnya penduduk yang terjejas dengan masalah banjir kilat, dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini," katanya.

Dalam program turun padang berkenaan, Sairin meninjau projek tebatan Sungai Mempikit di Kampung Banjar yang menelan belanja kira-kira RM200,000, pengairan di Kampung Kadalakan, Masak serta penebatan sungai di Kampung Tuarid.

-- BERNAMA.