PRU14: BN Perak Masih Nilai Calon - Zambry
BERUAS, 25 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak masih membuat penilaian secara terperinci bagi memastikan hanya calon yang sesuai bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penilaian itu penting bagi memastikan calon-calon yang dipilih mampu membawa kemenangan kepada BN.
"...yang bertanding bukan wakil parti tetapi wakil BN...BN perlu menang. Calon yang kita kenal pasti akan diberikan penilaian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Teras Pelancongan dan Kebudayaan serta Program Pekan Beruas 100 Tahun dan Kenduri Rakyat di Padang Pekan Beruas sempena Pemukiman Menteri Besar di Daerah Manjung di sini, hari ini..
Sementara itu, Zambry yang juga Pengerusi BN negeri berkata semangat musyawarah yang tinggi dalam kalangan parti komponen BN diyakini mampu mengelak sebarang permasalahan termasuk isu pemilihan calon.
-- BERNAMA