Laporan: Memperkasa Ekonomi, Berkhidmat Demi Kesejahteraan Rakyat - PM





KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) ? Kerajaan akan terus memperkasakan ekonomi dan berkhidmat sedaya upaya demi kesejahteraan rakyat meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi di negara-negara maju utama, peningkatan dasar perlindungan dan ketegangan geopolitik.

"Di samping sektor swasta yang kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan akan memberi sokongan berterusan untuk mengukuhkan ekonomi dan memelihara kesejahteraan rakyat," kata Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prakata Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri berkata, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 5.7 peratus dalam tempoh separuh pertama 2017.

Malah, Malaysia juga terus menjadi destinasi pelaburan pilihan terutamanya dari benua Asia dan Eropah, kata Najib.

"Ini dicerminkan menerusi aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan berjumlah RM25.2 bilion dalam tempoh sama. Pelaburan ini disalurkan terutamanya dalam sektor perkhidmatan, perlombongan dan pembuatan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, bagi memperkasa asas-asas ekonomi, kerajaan akan terus menggalakkan bidang pertumbuhan baharu demi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 , termasuk usaha menambah baik jalinan fizikal dan jaringan maya di seluruh negara.

Selain itu, kata beliau, usaha sedang dilaksanakan bagi menggalakkan firma-firma mengamalkan Revolusi Perindustrian 4.0 melalui peningkatan kesedaran dan penyediaan latihan bagi mengubah kaedah menjalankan perniagaan bagi menghasilkan peningkatan berganda dalam produktiviti serta kecekapan.

Ini termasuk mewujudkan Bandaraya Internet Kuala Lumpur dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), kata Najib.

Menurut Perdana Menteri, DFTZ akan menyediakan zon fizikal dan maya bagi memudahkan cara perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memanfaatkan penyatuan dan perkongsian ekonomi digital serta aktiviti ekonomi rentas sempadan.

Najib juga menyifatkan kerajaan telah berjaya menyediakan sistem pengangkutan awam yang terbaik untuk rakyat menerusi pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT) menghubungkan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan sambungan Transit Aliran Ringan (LRT).

Laluan MRT SBK itu juga merupakan antara projek infrastruktur terbesar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

"Pada masa sama, kerajaan terus melaksanakan projek berteraskan rakyat termasuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, Lebuhraya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga melancarkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menempatkan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 negara teratas di dunia dari segi pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta inovasi.

"TN50 akan dibentuk melalui aspirasi rakyat dan menjadi panduan bagi menghadapi masa hadapan," kata Najib.

-- BERNAMA