#Reaksi: Bajet 2018 Inklusif, Penuhi Keperluan Rakyat




KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini inklusif dan memenuhi keperluan serta mengutamakan kesejahteraan setiap lapisan rakyat negara ini, demikian reaksi pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan menteri kabinet.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pelan tindakan Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk membina lebih 40,000 unit secara berfasa sehingga 2030 akan memenuhi agenda kebajikan anggota keluarga tentera.

Katanya peruntukan RM40 juta bagi menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran angkatan tentera pula memenuhi keseluruhan aspek kemudahan rawatan kesihatan anggota tentera.

"Atas apa juga alasan mereka (pembangkang) akan menuduh kami ia bajet pilihan raya, tetapi seperti yang anda tahu agenda kami (kerajaan) ialah untuk menjaga kebajikan tentera dan veteran yang telah dilaksanakan sejak sekian lama, kerajaan tidak akan umumkan pelan tindakan perumahan sehingga tahun 2030 jika kerajaan menyasarkan untuk pilihan raya semata-mata dan bersifat jangka pendek.

"Semestinya isu kebajikan tentera dan veteran tidak boleh dilihat sebagai bajet pilihan raya, ia tidak boleh dilakukan dalam semalaman, ia tidak boleh bersifat jangka pendek," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata peruntukan hampir RM27 bilion kepada Kementerian Kesihatan pada Bajet 2018 diharap dapat terus meningkat mutu dan kualiti perkhidmatan kesihatan negara serta program baharu seperti program sukarelawan di peringkat akar umbi.

Subramaniam, yang juga presiden MIC, berkata peningkatan tujuh peratus pengambilan kaum India ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan sebagai penjawat awam adalah satu pengumuman penting buat masyarakat India di negara ini.

Ini merupakan satu pengumuman yang besar buat masyarakat India, kita telah membawa dan membincangkan perkara ini berulang kali sejak 15 tahun yang lalu, katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Bajet 2018 telah menggariskan pelan menyeluruh untuk merealisasikan potensi pertumbuhan Malaysia dan membuktikan komitmen jitu kerajaan Malaysia untuk memenuhi keperluan rakyat, khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) yang merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan purata bulanan bawah RM9,000.

Liow, yang juga presiden MCA berkata lebih 260,000 rakyat Malaysia juga tidak lagi tergolong dalam kalangan pembayar cukai yang merupakan inisiatif positif untuk menyediakan lebih pendapatan untuk dibelanjakan, sekaligus dapat menangani kos hidup dengan lebih baik.

Beliau berkata MCA juga amat berterima kasih kepada perdana menteri yang memutuskan untuk memperuntukkan RM50 juta untuk pembiayaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang sememangnya menjadi agenda utama MCA selama ini.

"Di samping itu, Kampung Baru-Kampung Baru Cina juga akan menerima pembiayaan signifikan RM75 juta untuk pembangunan baik pulih. Ini membuktikan kekuatan dan kesepaduan BN sebagai parti gabungan pelbagai kaum yang prihatin terhadap semua rakyat Malaysia," katanya.

Liow berkata kerajaan telah membuat keputusan betul dengan memperuntukkan RM10.48 bilion untuk pembangunan sektor pengangkutan darat, maritim dan penerbangan, daripada projek rel dan lebuh raya serta lapangan terbang baharu dan dilebarkan.

"Pembangunan ini baik untuk industri logistik, khususnya negara kita kini mengutamakan ekonomi digital dengan pewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

"Dengan fasa pertama DFTZ dijangka menarik pelaburan bernilai RM700 juta dan mewujudkan 2,500 peluang kerja, Malaysia berada di landasan untuk tumbuh sebagai hab e-perdagangan serantau," katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata bajet itu menunjukkan kerajaan mempunyai keazaman politik dan keupayaan untuk menangani kebimbangan rakyat.

"Bajet 2018 tidak mencerminkan bahawa Malaysia sebuah negara yang gagal. Negara yang gagal tidak mampu membentangkan bajet komprehensif sebegini," kata presiden Gerakan itu dan menambah bajet itu menunjukkan keupayaan BN melaksanakan pembangunan infrastruktur tanpa mengancam kedudukan fiskal negara.

-- BERNAMA