#Reaksi: Bajet 2018 Dirangka Terperinci, Mencakupi Semua Peringkat Masyarakat




KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kalangan pihak perbankan tempatan menyifatkan Bajet 2018 dirangka secara terperinci dan jelas merangkumi semua peringkat masyarakat.

Mengulas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, Malayan Banking Bhd (Maybank) berkata belanjawan itu juga memaparkan objektif semasa kerajaan untuk memacu pendapatan boleh guna golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi mengurangkan beban kos sara hidup selain menyokong perbelanjaan pengguna.

"Kami gembira melihat banyak pendekatan disediakan untuk membantu Malaysia serta rakyatnya berdepan tuntutan masa hadapan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, dalam satu kenyataan.

Ini menerusi pembangunan lebih banyak infrastruktur logistik, persediaan bagi dan mempromosikdan ekonomi digital, mempertingkatkan produktiviti dan automasi serta menumpukan pembangunan dan pelaburan modal insan menerusi pemerkasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pengekodan dalam sistem pendidikan, teknikal dan latihan pendidikan vokasional.

Abdul Farid berkata Maybank turut menyambut baik sokongan berterusan kerajaan terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi pembiayaan dan peruntukan kredit dan pengecualian cukai untuk pasaran modal membabitkan pelbagai aktiviti, produk serta pelabur.

Beliau juga memuji pendekatan berhemat kerajaan dalam pengurusan fiskal menerusi peningkatan defisit fiskal secara berperingkat.

"Kami sedia maklum bahawa pelaksanaanya amat mencabar ketika pasaran luar terus tidak menentu dan pada masa sama cuba untuk meminimumkan impak negatif terhadap pasaran domestik dan rakyat secaa amnya.

"Secara menyeluruh, kami melihat bajet ini sebagai positif bagi sektor perbelanjaan, infrastruktur, pelancongan dan kewangan," kata Abdul Farid.

Sementara itu, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menyifatkan Bajet 2018 itu memaparkan keprihatinan kerajaan terhadap kebimbangan utama rakyat namun pada masa sama turut mengambil kira kepentingan pembangunan ekonomi, sosial dan kerohanian rakyat pada masa depan.

Ia juga jelas menunjukkan sensitiviti kerajaan terhadap rakyat menerusi dasar yang praktikal, terutamanya bagi kumpulan B40 dan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

"Tumpuan terhadap isu-isu penting seperti mengurangkan cukai bagi kumpulan berpendapatan rendah, meningkatkan bantuan untuk makanan asas dan pengangkutan dan menyediakan lebih banyak peruntukan untuk rumah mampu milik adalah penting untuk memastikan kesejahteraan jangka pendek dan panjang rakyat," katanya.

Malah, beliau berkata, tumpuan untuk membina lebih 385,000 rumah mampu milik juga menunjukkan kerajaan tegas bagi menangani isu pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah.

"Usaha memanjangkan skim pembiayaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kepada pemaju perumahan swasta sewajarnya dipuji bagi memastikan aspek pemilikan rumah," katanya.

Sementara itu, Public Bank Bhd dalam satu kenyataan berasingan berkata Bajet 2018 itu menyenaraikan pendekatan inklusif bagi menggalakkan perkembangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, khususnya kelompok berpendapatan rendah dan pertengahan.

"Ini jelas menetapkan hala tuju negara ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50) serta memenuhi keperluan rakyat berikutan kos sara hidup yang tinggi.

"Kami melihat secara positif ketegasan kerajaan serta komitmen berterusannya dalam mengukuhkan kedudukan fiskal dan Bajet 2018 hanya mengesahkan lagi kelangsungan usaha fiskal berkenaan," kata Pengasas/Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

-- BERNAMA