#Reaksi: Kenaikan Sumbangan SP1M Menunjukkan Komitmen Kerajaan Kepada Kesejahteraan Rakyat




KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Peningkatan sumbangan kerajaan kepada Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) kepada 15 peratus, tertakluk kepada maksimum RM250 seorang setahun bagi tempoh lima tahun daripada 2018 hingga 2022, menunjukkan komitmen kerajaan kepada kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, insentif itu menunjukkan komitmen kerajaan kepada kesejahteraan persaraan pekerja sektor tidak rasmi yang tidak dilindungi sistem perlindungan sosial yang rasmi atau holistik.

"KWSP sentiasa mementingkan perlindungan sosial dan kami bimbang dengan kesejahteraan kira-kira 13.7 juta rakyat Malaysia yang tidak dilindungi sistem perlindungan sosial yang rasmi atau holistik.

"Oleh itu, kami gembira dengan pengumuman itu kerana ia akan memberi sokongan kukuh ke arah usaha meningkatkan kadar sumbangan untuk SP1M," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Diperkenalkan pada 2010, SP1M direka untuk menampung bilangan rakyat Malaysia yang semakin meningkat yang tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap, tetapi inginkan dana persaraan yang boleh mengembangkan simpanan mereka untuk masa depan dengan menyumbang secara sukarela minimum RM50 sehingga maksimum RM60,000 setahun.

Pemegang akaun SP1M juga boleh menikmati pelbagai faedah yang sama dengan anggota KWSP seperti memperoleh kadar dividen yang sama daripada simpanan mereka serta RM2,500 manfaat kematian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan dalam sumbangan kerajaan kepada SP1M ketika membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini.

-- BERNAMA