#REAKSI Bajet2018: Peruntukan RM27 Bilion Bukti Kerajaan Komited Tingkat Perkhidmatan Kesihatan




PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM27 bilion kepada Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2018 membuktikan kerajaan komited meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan tahap kesihatan rakyat.

Sambil menyambut baik pengumuman Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peruntukan itu merupakan hadiah terbaik kepada kementerian untuk terus memacu sektor kesihatan negara.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberi buat pertama kalinya memberi peruntukan yang besar kepada Kementerian Kesihatan.

"Peruntukan ini akan digunakan sebaik-baiknya bagi memberi perkhidmatan dan rawatan terbaik untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai pembentangan Bajet 2018.

Terdahulu, Dr Noor Hisham menghadiri Pink October Run 2017 yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Bajet 2018 bertemakan ?Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50' dengan cadangan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Najib mengumumkan sebanyak RM27 bilion diperuntukkan untuk sektor kesihatan yang antaranya meliputi RM2.5 bilion bagi bekalan ubat-ubatan, RM1.6 bilion untuk barangan 'consumable' dan sokongan perubatan.

Selain itu, sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulans, termasuk pembinaan dewan bedah secara modular di tiga hospital iaitu hospital Muar, Banting dan Balik Pulau.

Selain pembelian bekalan ubat-ubatan, kerajaan juga memberi peruntukan untuk membina blok wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Putrajaya dengan kapasiti 300 katil setiap satu dengan kos RM1 bilion.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menyambut baik usaha kerajaan membina bangunan baharu bertaraf antarabangsa bagi Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur.

"Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia adalah terkenal dan tersohor di rantau ini malah, mereka juga menjalankan banyak kes forensik yang rumit selain dijemput ke arena antarabangsa untuk memberikan perkhidmatan."

"Justeru itu, pembinaan (pusat perkhidmatan perubatan forensik) merupakan satu pengiktirafan kepada IPFN," katanya.

Mengenai pakar perubatan Gred UD 54 dan ke atas yang diberi waktu kerja fleksi, Dr Noor Hisham berkata mereka boleh memilih sama ada memberi perkhidmatan di hospital swasta atau menjalankan penyelidikan atau mengajar di institusi pengajian tinggi.

Dalam pembentangan bajet semalam, Najib mengumumkan bahawa pakar perubatan Gred UD54 dan ke atas yang sudah diwartakan sekurang-kurangnya empat tahun serta memenuhi syarat tertentu akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan waktu kerja fleksi.

-- BERNAMA