#REAKSI Bajet2018: Bajet 2018 Penuhi Keperluan Semua Kaum - Wee Ka Siong
ALOR GAJAH, 28 Okt (Bernama) -- Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merupakan bajet komprehensif yang memenuhi keperluan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau yang juga Timbalan Presiden MCA berkata Bajet 2018 mencakupi semua aspek dengan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum berpeluang mendapat manfaatnya.
"Ini membuktikan kerajaan prihatin dengan keperluan semua golongan sama ada Bumiputra, Cina atau India. Saya harap kita dapat melihat pakej (Bajet 2018) secara keseluruhan," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.
Terdahulu, Wee merasmikan Bengkel Pemantapan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Cina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) peringkat negeri Melaka 2017. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Machap Datuk Lai Meng Chong serta kira-kira 200 guru SJKC dari seluruh negeri.
Wee berkata bajet itu juga bakal merancakkan lagi pelaburan, perdagangan dan industri negara yang dapat memacu pembangunan inklusif yang akan menghasilkan limpahan ekonomi yang mampu dinikmati semua rakyat Malaysi.
"Ini kerana apa yang kerajaan lakukan (dalam Bajet 2018) berdasarkan kepada pungutan hasil yang dijangka akan mencambah pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata Bajet 2018 adalah lebih baik berbanding bajet dibentang pembangkang, yang didapati keliru kerana gagal membuat kajian menyeluruh dan mendapatkan data yang tepat tentang keperluan rakyat.
"Bajet 2018 menafikan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan pihak tertentu terhadap kerajaan. Saya rasa ini berbeza dengan bajet yang dibentang oleh Pakatan Harapan di mana saya rasa lucu apabila kata mereka akan beri peruntukan RM60 juta kepada Kampung Baru."
"Namun, semalam perdana menteri mengumumkan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM75 juta kepada Kampung Baru. Terbukti mereka gagal menilai keperluan rakyat," katanya.
-- BERNAMA