#REAKSI Bajet2018: Bajet 2018 Komprehensif, Penuhi Harapan Belia




KOTA KINABALU, 28 Okt (Bernama) -- Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam paling komprehensif dan memenuhi kehendak semua segmen masyarakat, termasuk golongan belia, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu Mohd Bahrin Abd Karim hari ini.

Katanya, golongan belia mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya menerusi Bajet 2018 sama ada dari segi latihan kemahiran, mahupun peluang ekonomi dengan menceburi perniagaan kecil-kecilan.

Mengulas pengumuman bajet itu yang dibentangkan oleh Najib, beliau bersetuju dan sependapat bahawa ia merupakan bajet terbaik dan inklusif kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

"Bagi saya, ia adalah bajet paling komprehensif kerana semua kelompok komuniti, kaum dan wilayah mendapat agihan seimbang, begitu juga wanita dan belia tidak dipinggirkan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Bahrin berkata peruntukan RM50 juta bagi membiayai 'social enterprise' dan badan bukan kerajaan (NGO) satu contoh komitmen kerajaan membantu golongan belia, yang mampu menyelesaikan masalah kemasyarakatan harian dan cabaran sosial secara inovatif, sekali gus memberi peluang kepada golongan belia menyertai kepemimpinan untuk membina dan berbakti kepada negara.

Selain itu, golongan muda yang kini sudah mula berjinak dalam sektor pertanian, perladangan dan nelayan yang menerima 'durian runtuh' dengan peruntukan besar berjumlah RM6.5 bilion, sudah pasti akan menggunakan peluang terbabit bagi meningkatkan produktiviti diri serta ekonomi keluarga, katanya.

"Keputusan kerajaan juga untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pembiayaan Pinjaman Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dan menaikkan jumlah pinjaman maksimum pelajar keluarga B40 mampu membantu mengurangkan beban kehidupan golongan belia dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Mohd Bahrin percaya teras dan strategi bajet kali ini dirangka dengan mengambil kira maklum balas golongan belia menerusi siri dialog Transformasi Nasional (TN50) yang diadakan sebelum ini, termasuk di negeri Sabah.

Beliau berkata kini adalah masa dan peluang bagi golongan belia merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Bahrin turut mengalu-alukan penyediaan peruntukan yang begitu besar RM6.8 bilion untuk pembangunan Sabah dan Sarawak menerusi bajet 2018 yang sudah pasti akan dapat memacu pertumbuhan serta kemajuan penduduk kedua-dua negeri, terutama di kawasan luar bandar.

-- BERNAMA