Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 Jelajah 60 Kawasan
KUALA PILAH, 28 Okt (Bernama) -- Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 kelolaan Biro Kebajikan UMNO pusat akan menjelajah 60 kawasan Parlimen di seluruh negara bagi menghulurkan bantuan kepada kumpulan sasaran.
Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata setakat ini, biro itu telah pun menjelajah ke enam negeri termasuk Negeri Sembilan.
"Ini adalah lanjutan kepada program UMNO Bantu Rakyat 1.0. Hari ini kita serahkan kit sumbangan, beg sekolah dan daftarkan anak-anak yang layak untuk Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M) seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di sini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata pihaknya akan cuba menghabiskan program itu selewat-lewatnya pada Januari tahun depan.
"Melalui program ini sahaja, kira-kira 200,000 orang yang menerima manfaat. Kalau dicampur dengan program UMNO Bantu Rakyat 1.0, hampir setengah juta orang yang telah mendapat manfaat," katanya.
Sementara itu, Ismail berkata program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Parlimen Kuala Pilah telah memanfaatkan lebih 1,000 orang melalui perkhidmatan tukar minyak hitam motosikal secara percuma kepada 200 orang, mendaftarkan 300 kanak-kanak bagi SSP1M serta mencantik enam buah rumah.
Beliau berkata di Negeri Sembilan, tiga lagi kawasan akan menerima bantuan program itu iaitu di Rembau, Tampin dan Jempol.
-- BERNAMA