#REAKSI Bajet2018: Bajet 2018 Bukti Kerajaan Persekutuan Tidak Pinggirkan Pulau Pinang




NIBONG TEBAL, 28 Okt (Bernama) -- Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan Pulau Pinang yang ditadbir DAP, sekali gus menafikan dakwaan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung perkara itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata secara dasarnya, bajet kerajaan BN sentiasa memberi manfaat kepada semua negeri termasuk yang diterajui kerajaan pembangkang.

"Pengumuman kerajaan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) itu jelas membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan Pulau Pinang malah negeri lain ditadbir pembangkang turut mendapat manfaat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Deepavali BN anjuran myPPP di Taman Seri Bestari di sini, hari ini.

Menurutnya beliau difahamkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghantar surat permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf dan membesarkan LTAPP namun tidak menyatakan perancangan serta pelan khusus untuk projek berkenaan.

"Dan perdana menteri meluluskan permohonan berkenaan dalam bajet tahun depan malah meluluskan projek menaik taraf Hospital Balik Pulau.Ini akan memberi manfaat kepada rakyat di Pulau Pinang," katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2018, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan akan menaik taraf LTAPP dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selain membina baharu Lapangan Terbang Mukah serta pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan Sandakan.

Teng berkata Pulau Pinang tidak pernah terlepas daripada menerima manfaat daripada kerajaan Persekutuan termasuk menerusi pembentangan bajet-bajet terdahulu.

"Jadi, saya rasa Lim sebagai ketua menteri janganlah lagi tuduh kerajaan Persekutuan tidak pedulikan Pulau Pinang dan rakyatnya.Setiap tahun, pelbagai peruntukan serta projek yang disalurkan untuk kepentingan penduduk (Pulau Pinang)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M.Loga Bala yang juga Pengerusi myPPP Pulau Pinang berkata Bajet 2018 adalah pelengkap kepada Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan Najib baru-baru ini.

Beliau berkata pelbagai peruntukan untuk kaum India dalam bajet itu jelas menunjukkan keseriusan kerajaan dalam membantu masyarakat terutamanya dari segi ekonomi serta pendidikan.

Loga Bala berkata secara keseluruhan bajet itu meliputi semua spektrum termasuk kesejahteraan masyarakat India dalam memastikan kebajikan serta sasaran kaum itu tercapai.

Kerajaan Persekutuan mengumumkan sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk membantu lebih 35,000 usahawan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) disamping tambahan RM50 juta lagi untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Satu inisiatif baharu turut diperkenalkan iaitu pengagihan 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India yang terhad kepada 30,000 unit untuk setiap pelabur.

-- BERNAMA