#REAKSI Bajet2018: Bajet 2018 Tingkatkan Kesalinghubungan Pengangkutan Awam Bagi Kuala Lumpur




KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Greater Kuala Lumpur (KL) akan meraih manfaat daripada komitmen kerajaan untuk terus menambah baik infrastruktur pengangkutan awam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Invest KL, Datuk Zainal Amanshah.

Beliau berkata, komitmen kepada Transit Aliran Massa 2 (MRT 2) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), serta penyegeraan penyiapan MRT 3 dua tahun lebih awal memberi petanda baik yang akanmempertingkatkan kesalinghubungan pengangkutan KL, sekali gus menjadikannya bandar yang lebih sesuai didiami.

"Projek baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan seluruh negara di samping memberi impak langsung dan positif ke atas perniagaan dan pelaburan.

"Ia akan mewujudkan kesan pengganda, yang memberi manfaat kepada rakyat dari segi kos sara hidup serta peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT 3 atau 'Circle Line' dengan dijangka siap pada 2025 berbanding jadual awal pada 2027.

Najib membentangkan Bajet 2018 bertema 'Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50' semalam.

Zainal berkata, penekanan kerajaan ke atas Industri 4.0 akan membantu menggalakkan dan mempertingkatkan ekonomi digital secara besar-besaran.

Beliau berkata, peruntukan RM83.5 juta bagi fasa pertama pembangunan infrastruktur Zon Perdagangan Bebas Digital menunjukkan kepentingan ekonomi digital.

"Usaha itu akan melonjakkan Greater KL sebagai hab digital serantau bagi Malaysia.

"Selain memastikan keupayaan dan kapasiti terkini, kita juga memerlukan asas modal insan terbaik yang sedia bersaing dan menerima pakai piawaian semasa Industri 4.0 dan ekonomi digital," katanya, dengan menambah, ia turut membolehkan perniagaan Malaysia memanfaatkan pertumbuhan ekonomi serantau dan dunia.

Pengerusi Ambank Group, Tan Sri Azman Hashim berkata, untuk meningkatkan sumbangan pasaran modal, Bajet 2018 memperkenalkan beberapa langkah seperti pengecualian duti setem.

"Ia akan menggalakkan lebih banyak dagangan aktif bagi dana dagangan bursa dan waran berstruktur, pada masa sama, pengecualian cukai pendapatan ke atas fi pengurusan akan menggalakkan lebih banyak rangkaian produk kewangan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) ditawarkan kepada pasaran.

"Pengenalan sistem dagangan alternatif dijangka membolehkan dagangan sekuriti menjadi cekap masa," katanya.

-- BERNAMA