Bajet 2018: Kerajaan Komited Tingkatkan Pembangunan Kaum India - Manickam
SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 semalam yang turut meliputi pembangunan masyarakat India menunjukkan kerajaan komited dalam meningkatkan lagi sosioekonomi masyarakat itu.
Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk L. Manickam berkata masyarakat India gembira dengan beberapa inisiatif yang diumumkan Najib semalam, kerana ia adalah sesuatu yang dinanti-nantikan terutama dalam bidang pendidikan bagi kaum India.
"Tujuh peratus pengambilan pelajar baru kaum India ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan setiap kaum India di negara ini.
"Selain itu, masyarakat India juga mendapat peruntukan RM50 juta bagi pembangunan sekolah Tamil yang boleh terus mengubah wajah sekolah khasnya sekolah-sekolah yang terletak di kawasan pedalaman seperti di kawasan ladang.
"Melalui peruntukan ini, kami dapat melihat keprihatinan kerajaan pusat dalam menjaga kebajikan masyarakat India," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Manickam juga berkata sejajar dengan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang dilancarkan tahun ini, kerajaan juga dilihat telah mengambil langkah proaktif dalam membaiki sosioekonomi masyarakat India.
"Antaranya Amanah Saham 1Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), semua ini akan memberi kesan positif kepada masyarakat India.
"Secara peribadi saya berharap masyarakat India terus bersama kerajaan Barisan Nasional dalam memastikan program menambah baik sosioekonomi ini dapat diteruskan dan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam MIB," katanya.
Semalam, perdana menteri yang juga menteri kewangan membentangkan Bajet 2018 bertemakan 'Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50' dengan cadangan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Najib yang sebelum ini sering bercakap mengenai usahanya untuk membantu masyarakat India berkata purata pendapatan bulanan isi rumah kaum India menunjukkan kadar pertumbuhan yang tinggi iaitu 6.8 peratus setahun.
Menurut Najib, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk membantu lebih 35,000 usahawan melalui TEKUN, di samping tambahan RM50 juta lagi untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Satu inisiatif baharu yang turut diperkenalkan ialah pengagihan 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.
Pengambilan kaum India ke institusi pengajian tinggi awam dan perkhidmatan awam dipertingkatkan dengan sasaran pengambilan baharu tujuh peratus.
-- BERNAMA