#Bajet 2018: Kerajaan Sentiasa Responsif Kepada Keperluan Universiti Awam




SEREMBAN, 29 Okt (Bernama) -- Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas membuktikan kerajaan sentiasa responsif dengan kehendak dan keperluan universiti awam sebagai penggerak inovasi dan penyelidikan.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata bajet itu juga memberi impak yang baik kepada ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh universiti kerana ianya amat penting bagi sesebuah institut pendidikan dan negara.

"Buat masa ini, negara berada di landasan yang betul untuk R&D apabila peruntukan untuk penyelidikan yang disalurkan sebelum ini melalui agenda Universiti Penyelidikan telah membolehkan Malaysia berada pada barisan hadapan di rantau ini dalam bidang R&D.

"Meningkatkan peruntukan untuk R&D akan memastikan kesinambungan agenda penyelidikan di samping memberikan peluang para penyelidik terus berinovasi dalam memenuhi tuntutan untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berteknologi tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata peningkatan peruntukan kepada universiti dapat membawa Malaysia melonjak dari segi penyelidikan dan dapat menonjolkan negara sebagai hab pendidikan pilihan, diiktiraf dan dihormati.

Sebanyak RM400 juta diperuntukkan dalam Bajet 2018 untuk geran R&D kepada universiti awam berbanding RM235 juta pada bajet sebelum ini.

-- BERNAMA