Elakkan Perpecahan, Kata Mohamad




SEREMBAN, 29 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakyat di negara ini supaya mengelakkan perpecahan.

Oleh itu, katanya rakyat negara ini jangan terpesona dengan semua fitnah yang dibuat pembangkang.

"Yang penting kita mesti bersama-sama. Masyarakat Malaysia mesti terus bersatu padu untuk kita membina negara ini. Jangan kita berpecah-pecah...jangan dengar cakap orang yang suruh kita berpecah.

"Jangan dengar cakap orang yang mahu melihat sesama kita berpecah dan tidak bersatu padu lagi," katanya ketika merasmikan Konvensyen myPPP Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden myPPP Kebangsaan Tan Sri M. Kayveas dan Pengerusi Badan Perhubungan myPPP Negeri Sembilan Datuk Sahul Hameed Shaik Mohaideen.

Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata kejayaan negara ini adalah atas asas perpaduan.

"Maka perpaduan inilah yang mesti terus kita bina dan terus kita pertahankan kerana tanpa perpaduan terutama penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan etnik ini, jika kita tidak bersatu padu negara kita akan musnah.

"...dan apabila ini (perpecahan) berlaku maka akan susah untuk kita bina semula negara ini. Jadi, saya harap mari kita bersama-sama menjalankan peranan masing-masing demi kesejahteraan negara.

"Mari kita pastikan supaya keharmonian rakyat Malaysia yang telah lama terbina akan terus kita pertahankan atas asas kesefahaman kita," katanya.

Sementara itu, Sahul Hameed berkata myPPP Negeri Sembilan akan bergabung dengan parti Indian Progressive Front (IPF), Parti Makkal Sakti dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) membantu calon-calon parti komponen BN yang bertanding di negari ini pada pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun kami tidak bertanding tetapi kami akan memberikan sokongan padu kepada calon BN dalam memastikan kemenangan BN di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA