Bajet 2018 Bukti Kesungguhan Kerajaan Laksana MIB - Subramaniam
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pembentangan Bajet 2018 membuktikan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) untuk kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik bagi komuniti India di negara ini.
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata langkah-langkah khusus yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet di Dewan Rakyat pada Jumaat, akan mendorong pelaksanaan MIB yang dilancarkan April tahun ini.
Bajet 2018 menunjukkan komitmen kerajaan menangani permasalahan masyarakat India sama ada dalam pendidikan, pekerjaan atau kekayaan, memudahcarakan pertumbuhan mereka serta mempromosikan fiskal secara bijak,"katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata ini juga membuktikan MIB
bukanlah retorik politik semata-mata.
Antara lain, Perdana Menteri pada Bajet 2018 mengumumkan pengagihan khas Permodalan Nasional Berhad sebanyak 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India.
Selain itu sebanyak RM50 juta disalurkan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) untuk membantu lebih 35,000 usahawan komuniti itu.
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India dan RM50 juta lagi disalurkan untuk menaik taraf dan menyenggara sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Dr Subramaniam juga memuji pengumuman Najib dalam pembentangan bajet itu bahawa melalui MIB, pengambilan baharu kaum India dalam perkhidmatan awam disasarkan pada tujuh peratus.
"Setiap kali perhimpunan agung tahunan MIC akan ada satu ketetapan diluluskan, iaitu kami mahu tujuh peratus pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam. Dan perdana menteri telah menyempurnakan hajat kami,"katanya dan menambah pada masa ini pengambilan kaum itu dalam sektor awam hanya sekitar empat peratus.
Pemimpin MIC itu berkata parti berkenaan akan berhubung dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mendapatkan lebih lanjut tentang perkara tersebut.
Ditanya sama ada bajet tersebut disesuaikan untuk memancing undi pada pilihan raya akan datang, Dr Subramaniam menyanggah perkara itu.
Beliau berkata perdana menteri telah mengumumkan banyak perkara positif untuk masyarakat India sejak menjawat jawatan itu pada 2009.
"Jadi anda tidak boleh katakan setiap tahun adalah pilihan raya, bukan?"katanya.
-- BERNAMA