Agihan Kek Ekonomi Negara Perlu Terus Diperkemas
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Agihan kek ekonomi negara perlu terus diperkemas supaya seluruh rakyat dan wilayah di negara ini mendapat bahagian masing-masing secara adil dan seterusnya membantu memelihara kestabilan negara.
Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) berkata sebarang pengabaian terhadap agihan kekayaan negara boleh membawa kesan buruk sehingga menyebabkan sesebuah negara yang dahulunya bersatu padu menjadi berpecah dan hancur.
Namun, rakyat Malaysia boleh bersyukur kerana negara ketika ini dipimpin oleh kerajaan yang sentiasa berusaha memberi keadilan dalam soal agihan kekayaan, katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Hasan berkata dalam pembentangan Bajet 2018, rakyat boleh menyaksikan bagaimana setiap dasar, inisiatif dan program yang diumumkan kerajaan tidak mengabaikan mana-mana kaum, agama dan wilayah.
"Saya lihat kumpulan masyarakat terpencil juga mendapat manfaat, tiada golongan yang tercicir termasuk peruntukan yang disediakan untuk masyarakat Orang Asli," kata beliau.
Hasan berkata jika tumpuan sewajarnya tidak diberi kepada mana-mana kelompok rakyat, ia akan memberi peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalakan api kebencian dalam kalangan masyarakat.
Soal agihan itu, ujar beliau, perlu diberi perhatian bagi mengelak perpecahan seperti yang berlaku di beberapa negara termasuk di Eropah sebelum ini.
Persidangan bersambung Isnin.
-- BERNAMA