Wanita Mca Perlu Proaktif Rebut Peluang Dalam Revolusi Industri 4.0




KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Wanita MCA perlu proaktif merebut peluang yang dibawa Revolusi Industri 4.0 (IR4) dan e-Dagang bagi memperkasa wanita dari segi ekonomi dengan melahirkan lebih ramai usahawan daripada golongan itu, kata setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Ong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua berkata IR4 dan e-Dagang telah membuka satu persekitaran baharu dengan potensi yang besar untuk wanita di negara ini.

"Wanita MCA perlu memaksimumkan peluang ini untuk menjadi peneraju kepada wanita Cina Malaysia menggunakan sepenuh kesempatan yang ada yang dibawa kedua-dua elemen ini.

"Adalah amat penting untuk diambil perhatian bahawa peluang dan ruang untuk pembangunan di kalangan wanita akan menjadi tidak terbatas," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-42 Wanita MCA di sini hari ini.

Ong berkata sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wanita di dalam kegiatan ekonomi dan menyedari kepentingan melatih lebih ramai wanita sebagai usahawan, kerajaan melalui Bajet 2018 memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan itu.

"Latihan ini termasuk Program Usahawan PEAK di bawah MyWin Academy. Saya berharap Wanita MCA akan mempunyai wanita Cina untuk mengambil bahagian secara aktif dalam program ini dan membangunkan lebih banyak bakat keusahawanan wanita," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie telah mencadangkan agar anggota parti berusaha mendapatkan sokongan daripada lima anggota bukan MCA , dalam mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Setiap anggota perlu sekurang-kurangnya mendapatkan sokongan daripada lima pengundi. Mereka perlu terdiri daripada anggota yang tidak menyertai MCA yang akan diterjemahkan ke dalam undi bagi parti itu.

Sekiranya 460,000 anggota sayap parti itu mampu mendapatkan sokongan daripada pengundi, ia akan menghasilkan lebih daripada dua juta undi, katanya mengenai Strategi 1+5.

Dalam perkembangan lain, Heng berkata sayap wanita parti itu telah melancarkan mekanisme baharu, yang dikenali sebagai Jaringan Rakyat PLUS (JR PLUS) sejak Mei lepas dalam usaha untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

JR PLUS bertindak sebagai jambatan bagi menghubungkan akar umbi dengan kerajaan. Ia membantu menentukan tahap kehidupan mereka dan sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan. Maklumat ini akan disampaikan mengikut saluran atau agensi yang sesuai bagi membantu mereka.

Sebanyak 1,219 daripada 2,073 perwakilan Wanita menghadiri mesyuarat tahunan itu.

-- BERNAMA