Wanita MCA Luluskan 22 Resolusi, Pemuda 18 Resolusi
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 Wanita MCA hari ini menerima pakai 22 resolusi yang merangkumi lapan aspek termasuk perkara-perkara berkaitan parti dan kerajaan, isu-isu sosioekonomi, wanita dan undang-undang.
Resolusi itu diluluskan 1,219 perwakilan yang hadir pada perhimpunan agung itu selepas dibahaskan oleh 13 perwakilan.
Satu daripada resolusi itu ialah menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap jenayah siber dan mereka yang menyebarkan khabar angin sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai dan menggugat keharmonian sosial.
Perwakilan juga sebulat suara menolak sebarang ekstremisme dan ucapan-ucapan yang memecah-belahkan atau tindakan ekstremis atau ideologi terhadap orang lain.
Mengenai pendidikan, Wanita MCA menyuarakan sokongan terhadap pendekatan berfikiran jauh kerajaan untuk terus membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan pertumbuhan baharu serta menempatkan semula sekolah itu yang kekurangan murid ke kawasan mendapat permintaan lebih tinggi.
Sementara itu, sejumlah 18 resolusi diluluskan Pemuda MCA semasa mesyuarat agung tahunan ke-53 sayap berkenaan di Wisma MCA hari ini.
Dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum, anggota Pemuda MCA menyeru parti itu melatih lebih banyak ejen tempat mengundi, ejen mengira undi dan ejen 'barung' (PACABA) sebagai sebahagian daripada langkah memperkuat jentera pilihan raya parti, sambil menekankan PACABA akan memastikan proses pengundian berjalan lancar semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pemuda MCA juga menyokong langkah diambil kerajaan untuk menyusun semula sistem cukai bagi meringankan beban rakyat dan memuji inisiatif dilakukan kerajaan dengan memberikan insentif dalam membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.
Terdahulu semasa perbahasan, seorang perwakilan Wong Tze Shiang dari Bahagian Temerloh, Pahang mencadangkan supaya kerajaan mengkaji kemungkinan bagi mendapatkan pengecualian visa dari China berikutan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lepas.
Beliau berkata pengecualian bagi rakyat Malaysia berkunjung ke China bukan sahaja memudahkan perjalanan dan pelancongan, tetapi juga akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi antara Malaysia dan China.
-- BERNAMA