Briged Bantuan Bencana UMNO Siap Sedia Hadapi Banjir




LENGGONG, 4 Nov (Bernama) -- Briged Bantuan Bencana yang ditubuhkan oleh Biro Kebajikan UMNO kini berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir berikutan fenomena cuaca yang tidak menentu sekarang.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata antara persediaan yang diambil oleh briged itu ialah memastikan bekalan makanan untuk mangsa banjir adalah mencukupi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan penduduk supaya mematuhi arahan perpindahan apabila diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Penduduk di kawasan sering banjir hendaklah sentiasa berwaspada dengan memastikan dokumen penting dibawa apabila berlaku banjir," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan mangsa banjir daerah kecil Lenggong di Kampung Banggol Belimbing dekat sini, hari ini.

Shamsul Anuar yang juga Anggota Parlimen Lenggong turut meminta pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan maklumat tidak benar mengenai kejadian bencana banjir termasuk bencana lepas.

Terdahulu, dalam majlis berasingan Shamsul Anuar berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli, sebaliknya mereka diberikan hak dan peluang yang sama seperti dinikmati oleh kaum lain di negara ini.

"Kerajaan sentiasa memberikan perhatian dan membantu masyarakat Orang Asli dengan memberi pelbagai bentuk sumbangan selain peluang kepada golongan tersebut termasuk dari segi pendidikan," katanya kepada pemberita selepas program UMNO Bantu Rakyat 2.0 Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Air Bah dekat sini.

Mengenai program itu, Shamsul Anuar berkata selain bantuan membabitkan peruntukan berjumlah RM25,000 pihaknya turut membawa pasukan perubatan untuk membantu masyarakat Orang Asli yang menghadapi masalah kesihatan.

-- BERNAMA