DAP Pulau Pinang Lancar Tabung Bantuan Mangsa Banjir




GEORGE TOWN, 5 Nov (Bernama) -- DAP Pulau Pinang telah melancarkan Tabung Bantuan Bencana Ribut Taufan dan Banjir Pulau Pinang bagi menerima sumbangan untuk mangsa banjir di negeri itu.

Setiausaha DAP Negeri, Lim Hui Ying, dalam kenyataan hari ini, berkata kempen derma itu akan bermula selama 10 hari bermula esok dengan semua sumbangan akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

Orang ramai boleh menderma sama ada secara tunai atau cek di Pejabat DAP Negeri di No.3, Jalan Rangoon di sini atau melalui akaun Maybank bernombor 5070-1301-4596 atas nama DAP Pulau Pinang.

Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan tempat kediaman di lima daerah di negeri itu dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan angin kencang lebih 15 jam sejak 2 petang semalam.

Kejadian itu mengakibatkan hampir keseluruhan kawasan rendah di negeri itu dinaiki air setinggi 0.2 hingga 1 meter selain puluhan pokok turut tumbang menyebabkan kerosakan harta benda kepada penduduk setempat.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Lebuh Carnarvon, Jalan Anson, Halaman Bukit Gambir di George Town, Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Ferringghi, Balik Pulau dan beberapa kawasan di Seberang Perai.

-- BERNAMA